TAMBUNAN:24 Oktober 2025— Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah dalam satu operasi di tepi Jalan Tambunan – Kota Kinabalu.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 10.30 malam itu hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin membawa kepada penahanan lima individu tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Pihak polis turut merampas tiga lori tangki, dua kenderaan jenis Toyota Hilux serta 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan bagi tujuan penyelewengan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,005,127.60.
Kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 untuk tindakan lanjut.
PPM Wilayah 4 dalam kenyataannya menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan serta lokasi strategik di Sabah.
Pihak polis turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat awam untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.
Sumber: Pasukan Polis Marin W4 Sabah

