Oleh: Zaidul Khair Bin Jungkim
PENAMPANG: 14 Julai 2026 – Polis sedang menyiasat kejadian khianat membabitkan sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan selepas premis itu ditemukan berselerak dengan beberapa barangan dipercayai dirosakkan oleh individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy bin Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 Julai lalu sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Hasil siasatan awal mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan telah dirosakkan dan dialihkan sehingga menyebabkan keadaan premis berselerak,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab selain mengumpul bukti berkaitan kejadian.

