Gambar hiasan
KOTA KINABALU: 13 Februari 2026 – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot bin Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar kira-kira jam 4.30 petang pada hari kejadian.
Menurutnya, hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
Susulan itu, pada jam lebih kurang 8.10 malam hari yang sama, seorang lelaki berumur 71 tahun ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.
Seterusnya pada jam lebih kurang 10.30 malam, seorang lagi lelaki berumur 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan motif dipercayai berpunca dari perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis menegaskan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu
