Lahad Datu, 3 Julai 2025 – Polis Daerah Lahad Datu kini sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes bunuh yang tragis, berlaku pada 28 Jun 2025 di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan kebun kelapa sawit, Ulu Segangan, Silabukan.
Mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun, ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kecederaan parah di bahagian belakang badan, dipercayai akibat tikaman senjata tajam.
Bertindak atas maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu telah menahan dua individu warga asing, seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 29 tahun, pada hari yang sama untuk membantu siasatan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan.
Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi IPD Lahad Datu bagi membantu kelancaran penyiasatan.