SANDAKAN: 09 Oktober 2025 — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar Sandakan pada petang rabu.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan pada jam 6 petang itu melibatkan serbuan di tiga lokasi berasingan iaitu kawasan Batu 9, Taman Gaya Batu 7 dan kawasan setinggan belakang Bandar Leila.
Dalam operasi tersebut, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seorang wanita turut ditahan kerana disyaki memiliki cecair dan serbuk ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan untuk ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka kini direman di Lokap IPD Sandakan untuk tindakan dan siasatan lanjut. Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George B. Abd Rakman menegaskan operasi tersebut menggambarkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.
Sumber: Polis Daerah Sandakan