SANDAKAN: 20 Ogos 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan dua kegiatan penyeludupan berasingan di sekitar Sandakan melibatkan rampasan rokok dan minyak dengan nilai keseluruhan melebihi RM358,000.
Dalam operasi pertama di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4 Sandakan pada malam 19 Ogos, PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin menemukan 90,800 batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam bekas plastik.
Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM129,618 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di Jalan Batu 27, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 menyerbu sebuah gudang minyak haram yang digunakan untuk pemindahan minyak ke dalam lori tangki dipercayai bagi tujuan pasaran gelap.
Dua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 66 tahun diberkas dalam serbuan tersebut. Anggaran nilai minyak yang dirampas mencecah RM228,935 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak PPM Wilayah 4 menegaskan komitmen mereka untuk terus memperketatkan penguatkuasaan di kawasan perairan dan daratan pantai timur Sabah, serta mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.
Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4