Polis Marin Sabah Gempur Penceroboh, Rampas Kulit Kayu Tangar Bernilai RM70,000

Gambar PPM Rampas Pencoroboh Kayu Tangar

SANDAKAN: 2 November 2025 – Usaha berterusan mengekang kegiatan haram di kawasan hutan bakau membuahkan hasil apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah (JPNS) berjaya menggagalkan kegiatan pencurian kulit kayu tangar dalam satu operasi khas di kawasan Sungai Terusan Duyung, Sandakan.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 2.30 petang pada 31 Oktober itu berjaya mengesan tapak pencerobohan di kawasan hutan bakau dan merampas 20 ikatan kulit kayu tangar yang telah siap diikat, dipercayai hasil curian daripada kira-kira 180 batang pokok. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM70,000.

Menurut kenyataan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri bin Ibrahim, operasi dijalankan hasil risikan bersama JPNS selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pencerobohan dan kecurian hasil hutan di kawasan terbabit. Kes kini sedang disiasat di bawah Enakmen Perhutanan 1968.

PPM Wilayah 4 menegaskan komitmen untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan dan zon strategik Sabah. Pasukan itu turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram yang menjejaskan sumber alam dan keselamatan negara.

ACP Mohd Nazri menegaskan bahawa PPM akan terus mempergiat operasi bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kelestarian sumber hutan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal