Polis ingatkan semua parti dapatkan permit kempen pilihan raya
KOTA KINABALU: Semua parti politik yang terbabit dalam kempen pilihan raya umum yang sedang berjalan sekarang diingatkan untuk mendapat kelulusan sebelum menjalankan kempen atau mengadakan perhimpunan.
Ketua Polis Sabah Datuk Idris Abdullah juga memberi amaran kepada mereka termasuk calon dan penyokong supaya mengelak daripada melakukan unsur-unsur provokasi dalam kempen mereka.
“Pastikan tiada unsur perkauman atau fitnah dan semua penyokong berkelakuan baik. Ini termasuk mereka yang menghadiri ceramah. Jangan letak kereta sembarangan hingga menyekat lalu lintas,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 39 laporan polis dibuat di antara 26 Oktober dan 7 November atas pelbagai kesalahan berhubung pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kata Ketua Polis Sabah itu.
Katanya, daripada 39 laporan polis itu, enam kertas siasatan dibuka untuk meneliti kesalahan yang bersifat politik.
“Kami juga memasukkan dalam laporan polis pada 26 Oktober satu aduan yang dibuat terhadap Datuk Maximus Ongkili,” katanya.
Parti Warisan telah membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Ongkili kerana mendakwa parti itu mesra pendatang tanpa izin (PTI).
Idris berkata, sebanyak 369 permit kempen telah dikeluarkan di negeri ini sejak berkempen mula pada 5 November di mana 178 dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.
“Setakat ini pasukan penguatkuasa kami mendapati semua kempen yang disemak mempunyai permit yang sesuai dan tidak melanggar sebarang peraturan,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments