PENAMPANG: 23 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian atas talian melalui kerjasama rapat dengan masyarakat, hasil maklumat yang disalurkan menerusi QR Code Aduan Masyarakat.
Bertindak atas aduan awam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang melancarkan operasi di sebuah premis di Taman Suria, yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian tambah nilai atas talian.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan dipercayai ejen perjudian ditahan, manakala beberapa peralatan elektronik dan sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan haram turut dirampas.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi serta penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti perjudian dalam apa jua bentuk, khususnya perjudian atas talian yang semakin berleluasa di seluruh negara.
Orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui saluran rasmi seperti QR Code Aduan Masyarakat bagi membantu pihak polis memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara.
Sumber: Kenyataan Media

