TELUPID: Polis sedang giat mencari seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Kampung Buis, Telupid, Sabah.
Menurut laporan yang diterima oleh Balai Polis Telupid pada hari kejadian, mangsa yang merupakan warga tempatan telah membuat aduan berhubung insiden tersebut yang dipercayai berlaku di rumah keluarganya.
Suspek dikenali sebagai NoorIslam Khan atau “Khan”, dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan warganegara Pakistan. Suspek kini dipercayai sedang melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Beluran memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek agar segera tampil membantu siasatan. Saksi yang berada di lokasi atau mempunyai maklumat penting diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sandra di talian 011-2806 6182, Balai Polis Beluran di 089-511 222 atau Balai Polis Telupid di 089-521 721.
Gambar suspek turut diedarkan bagi memudahkan pengecaman oleh orang awam.
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan komuniti dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Polis Cari Suspek Kes Amang Seksual Kanak-Kanak di Telupid
