KOTA KINABALU: 12 Februari 2026 – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian keratan anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Manggatal, pagi tadi.
Menurut kenyataan media Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Pusat Kawalan Polis menerima maklumat awal berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.00 pagi.
Sejurus menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah dan di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan. Polis percaya semua bahagian yang dijumpai adalah milik mangsa yang sama.
Identiti mangsa setakat ini masih belum dikenal pasti. Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesahkan identiti dan mengesan waris terdekat.
Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian dan mengumpul bahan bukti untuk membantu siasatan.
Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian-bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan berkenaan. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian dan individu yang terlibat.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Rahman di talian 012-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu
