KOTA KINABALU: 4 September 2025 – Perikatan Nasional (PN) kini dalam proses merintis kerjasama dengan sebuah parti tempatan Sabah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa parti yang sedang dipertimbangkan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri, namun enggan mendedahkan identitinya buat masa ini. Beliau turut menegaskan PN tidak bercadang untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, Sabah mempunyai kedudukan strategik sebagai penentu arah politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, sekali gus menjadikan pembentukan pakatan baharu sebagai langkah penting untuk memperkukuh kedudukan PN di negeri ini.
Tambah Muhyidin lagi, PN mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan kekuatan politik di Sabah terus diperkasa.
PN sebelum ini pernah bersama GRS membentuk kerajaan negeri pada 2020, namun hubungan kedua-dua pihak dikatakan semakin renggang selepas perubahan landskap politik pasca PRU15.
Dengan langkah baharu ini, PN dilihat berusaha mengukuhkan pengaruh di Sabah selain membuka ruang kepada kerjasama politik yang lebih luas menjelang pilihan raya akan datang.
Sumber: The Star