Membakut, 6 Julai 2025 – Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan terus memperkukuh usaha dalam melestarikan seni budaya masyarakat Brunei di negeri ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengenalan makanan tradisi seperti ambuyat dan kuih-muih.
Presiden PMBS merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pengenalan makanan tradisi bukan sahaja bertujuan memelihara warisan budaya, malah mampu menjana pendapatan dan memperkasakan ekonomi usahawan kecil dalam kalangan etnik Brunei.
Menurutnya, PMBS akan melaksanakan beberapa siri pengenalan dan kursus yang memberi fokus kepada makanan tradisi, sebagai langkah memperluas pengetahuan generasi muda terhadap nilai-nilai budaya serta membuka peluang keusahawanan.
Beliau turut menekankan kepentingan variasi dan inovasi dalam penyediaan hidangan seperti ambuyat bagi memastikan ia kekal relevan dan diminati generasi masa kini. Ambuyat, yang turut dinikmati oleh pelbagai etnik di Sabah, dilihat berpotensi untuk dikembangkan dengan pelbagai variasi menu dan pencicah yang menarik.
PMBS juga merancang untuk menjadikan Festival Ambuyat sebagai acara tahunan dan memilih beberapa lokasi strategik di seluruh negeri untuk penganjurannya, dengan penyertaan lebih meluas daripada masyarakat dan usahawan tempatan.
Dalam aspek seni persembahan, usaha turut digiatkan bagi menggalakkan penglibatan golongan muda, khususnya pelajar, dalam menguasai tarian etnik agar tidak pupus ditelan arus masa.

Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, bertempat di Dewan Seri Wawasan, Kampung Pimping.
Sumber, Sabah News Today