KOTA KINABALU: 19 September 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melakukan lawatan ke Sabah hari ini bagi meninjau situasi bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, khususnya di daerah Penampang dan Kota Kinabalu.
Lawatan bermula di Country Heights, Penampang pada jam 2.15 petang untuk melihat lokasi tanah runtuh di pekarangan tempat letak kereta Blok 20.
Perdana Menteri kemudian meneruskan tinjauan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan St Paul, Kolopis pada jam 3 petang, sebelum ke PPS Kampung Sarapung, Penampang pada jam 3.40 petang.
Di kedua-dua PPS tersebut, Anwar dijangka meninjau keadaan mangsa, meneliti keperluan mereka serta memberi sokongan moral kepada penduduk terjejas.
Pada jam 4.30 petang, beliau dijadual meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat semalam seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 PPS di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang, selain sebuah pusat pemindahan kekal di Beaufort.
Bencana tanah runtuh yang berlaku sejak minggu lalu telah meragut 13 nyawa manakala banjir mengorbankan seorang mangsa.
Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu mangsa terjejas, tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan kerajaan negeri bagi pembaikan segera kemudahan asas.
Sumber: Berita Harian
