Pilihanraya Negeri Sabah 2025: Apa Kata Pengundi Baru Golongan Belia

photo 2025 10 31 18 38 32

Oleh: Jacyntha & Bavilia Sandra

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini, segelintir golongan belia yang bakal mengundi mengakui masih kurang memahami isu-isu politik semasa bagi membuat keputusan yang tepat di peti undi.

photo 2025 10 31 19 24 57

Bagi seorang wanita muda yang hanya mahu dikenali sebagai Clerice, 20, pilihan raya kali ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai pengundi.

“Ya, ini kali pertama saya akan mengundi dalam pilihan raya. Saya agak teruja sebab akhirnya dapat ikut serta menentukan masa depan negara,” katanya dalam satu temu bual rambang oleh wartawan TV Sabah baru-baru ini.

Menurut Clerice, yang kini menjalani latihan praktikal sebagai guru tadika, meskipun beliau mengikuti perkembangan politik melalui media sosial dan berita, pelbagai pandangan yang bertentangan sering membuatkan dirinya keliru.

“Saya rasa saya faham sedikit sebanyak. Saya banyak baca berita dan tengok perbincangan politik di media sosial, tapi kadang-kadang masih keliru sebab terlalu banyak pandangan berbeza,” tambahnya.

Beliau mengenali beberapa parti politik utama seperti Pakatan Harapan, Gagasan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional, namun pengenalannya terhadap tokoh politik tempatan masih terbatas.

“Mungkin sedikit sebanyak akan dengar pandangan keluarga, tapi saya tetap mahu buat keputusan sendiri berdasarkan apa yang saya faham dan percaya,” katanya.

Clerice berharap agar kerajaan yang bakal dipilih nanti mampu bersikap lebih jujur serta memberi tumpuan kepada kebajikan belia dan kestabilan ekonomi.

“Saya harap kerajaan yang terpilih nanti akan lebih jujur, membantu golongan muda, dan menstabilkan ekonomi supaya peluang pekerjaan lebih banyak,” ujarnya.

photo 2025 10 31 19 22 04

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda, Vivirah, 22, berkata beliau akan mengundi buat kali kedua pada pilihan raya kali ini.

“Secara peribadi saya agak kurang memahami isu-isu politik dalam membuat keputusan memilih parti,” jelasnya.

Vivirah, yang merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di sini, turut mengakui bahawa pada kali pertama mengundi dahulu, beliau lebih banyak mengikut pandangan keluarga dalam menentukan pilihan. Namun kali ini, beliau ingin membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri

“Bagi pengalaman saya pada pertama kali mengundi, saya hanya mengikuti nasihat keluarga. Untuk Pilihan Raya yang akan datang, saya rasa tidak ada dorongan dari siapa-siapa kecuali diri saya sendiri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar proses pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil.

“Saya berharap pilihan raya kali ini akan dijalankan dengan lebih adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

photo 2025 10 31 19 21 55

Bagi Brenycca, 21, seorang pelajar universiti, beliau berkata ini bukan kali pertama beliau mengundi namun masih mengakui tahap pemahamannya terhadap isu politik hanya pada asasnya sahaja.

“Saya rasa saya faham secara asas saja. Banyak isu saya tahu melalui media sosial dan berita, tapi kadang susah juga mau tahu mana yang betul-betul fakta,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau mengenali beberapa parti besar termasuk parti kerajaan dan pembangkang, namun tidak semua personaliti politik di kawasan tempat tinggalnya dikenalinya.

“Saya akan dengar pendapat keluarga atau kawan juga, tapi akhirnya saya mau buat keputusan sendiri berdasarkan apa yang saya rasa paling baik untuk masa depan,” jelasnya.

Menurut Brenycca, beliau berharap agar pemimpin yang dipilih benar-benar melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Saya harap siapa pun yang menang nanti, dorang betul-betul buat kerja untuk rakyat — bukan janji saja masa kempen. Harap juga ada lebih banyak peluang kerja dan pembangunan untuk golongan muda,” katanya.

Seorang lagi pengundi muda, Connila, 23, turut berkongsi pandangan yang hampir sama apabila mengakui tahap kefahamannya terhadap isu politik masih terbatas.

“Saya faham hanya sedikit. Kenal parti-parti politik tapi tidak semua, hanya sesetengah sahaja,” katanya.

Connila berkata beliau mungkin akan mempertimbangkan pandangan keluarga atau rakan dalam membuat keputusan mengundi, namun tetap berharap agar pilihan raya kali ini dapat melahirkan pemimpin berintegriti.

“Semoga pilihan raya kali ini akan dapat melahirkan pemimpin yang baik, berintegriti, amanah, bertanggungjawab dan tidak mengambil rasuah demi menjaga keamanan, kestabilan serta perkembangan sosioekonomi, khususnya di negeri Sabah,” ujarnya.

Bagi Alfevian Nico, 23, lepasan universiti, pilihan raya kali ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai pengundi.

“Ya, ini kali pertama saya mengundi dan saya rasa faham dengan isu-isu politik semasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa dirinya telah membuat kajian ringkas mengenai parti-parti politik yang terlibat bagi membantu proses membuat keputusan nanti.

“Saya kenal dan telah mencari sedikit maklumat berkaitan parti-parti politik. Saya tidak akan ikut nasihat mana-mana pihak, sebaliknya akan membuat keputusan sendiri,” katanya.

Alfevian berharap agar rakyat Sabah dapat memilih kerajaan yang benar-benar telus dan jujur.

“Harapan saya supaya rakyat Sabah bijak memilih kerajaan yang telus dan jujur untuk mengembalikan keistimewaan dan hak-hak negeri yang sepatutnya menjadi milik negeri Sabah,” ujarnya.

photo 2025 10 31 18 41 19

Bagi Mimik, 20, pelajar Universiti, pengalaman mengundi buat pertama kali menjadi satu momen bermakna dalam hidupnya.

“Ya, ini kali pertama saya mengundi. Saya rasa teruja sebab akhirnya dapat peluang untuk turut serta menentukan masa depan negara,” katanya dengan penuh semangat.

Mimik mengakui masih dalam proses memahami isu-isu politik semasa, namun tetap berusaha untuk membuat pilihan yang bijak.

 “Secara jujurnya, saya masih belajar dan cuba faham isu-isu politik. Tapi saya banyak baca dan tengok perbincangan tentang hal semasa supaya dapat buat keputusan yang lebih bijak,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun mengenali beberapa parti utama dan tokoh politik, dia masih berusaha mengenali calon yang akan bertanding di kawasannya.

 “Saya kenal beberapa parti utama dan pemimpin yang sering muncul di media, tapi saya masih cuba kenal lebih mendalam tentang calon di kawasan saya sendiri,” katanya.

Apabila ditanya sama ada pengaruh keluarga dan rakan-rakan akan menentukan pilihannya, Mimik menegaskan bahawa keputusan akhir tetap dibuat berdasarkan penilaiannya sendiri.

“Saya akan dengar pandangan mereka, tapi akhirnya saya nak buat keputusan sendiri berdasarkan apa yang saya rasa betul dan siapa yang betul-betul boleh bantu rakyat,” jelasnya.

Beliau sangat berharap agar pilihan raya kali ini membawa sinar baharu kepada rakyat Sabah.

 “Saya harap pilihan raya kali ini dapat membawa perubahan yang positif pemimpin yang lebih jujur, bertanggungjawab dan betul-betul bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Pilihan Raya Negeri Sabah dijangka menyaksikan peningkatan jumlah pengundi muda susulan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik, yang membuka ruang kepada lebih ramai belia untuk menyuarakan hak mereka melalui peti undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal