Monday, December 23, 2024

Peter kemuka petisyen, bantah keputusan SPR

KOTA KINABALU: Kerana tidak puas hati pencalonannya tidak diterima untuk bertanding parlimen di Tenom, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony membuat petisyen membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pusat itu.

SPR pusat dikatakan menolak pencalonan beliau pada 5 November lalu.

“Saya akan buat petisyen dan juga bantahan di mahkamah,” beliau dipetik sebagai berkata di Astro Awani pada Isnin.

Peter yakin keputusan akan memihak kepadanya kerana tiada sebab dia tidak boleh bertanding sebagai calon PKDM di kerusi parlimen Tenom.

Peter ditahan malam Sabtu bagi membantu siasatan polis berhubung rusuhan di luar pusat penamaan calon kerusi Parlimen Tenom pada 5 November. Beliau bagaimanapun dibebaskan pagi Isnin.

“Siasatan berjalan lancar dan Peter dibebaskan dengan jaminan polis hari ini (Isnin),” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah dalam satu kenyataan.

Kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 24A (2) Akta Pilihan Raya 1954, yang melarang orang ramai daripada menunggu atau berada dalam lingkungan 50m dari perimeter pusat penamaan calon.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada Sabtu ketika penamaan calon, Idris dilaporkan sebagai berkata bahawa kira-kira 300 penyokong Peter cuba menyerbu masuk pusat penamaan calon selepas pegawai pilihan raya menolak kertas pencalonan Peter atas alasan dia mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Klip video yang dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan gas pemedih mata dilepaskan ke arah orang ramai yang membawa bendera yang mengandungi logo parti KDM.

Peter bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kerja kontrak penyelenggaraan sistem.

Dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Menurut laman web SPR, individu yang disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000 — dan masih belum diampunkan — tidak layak bertanding dalam pilihan raya negeri atau parlimen.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights