Pesta Salag ketengahkan budaya unik etnik Idahan

Ryio Kenji
LAHAD DATU: Penganjuran Pesta Salag atau Pesta Menuai Sarang Burung bertujuan untuk mengetengahkan sosio budaya masyarakat etnik Idahan yang sememangnya unik, katanya Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Titing Putang.
Katanya, budaya etnik Idahan ini perlu diperkenalkan terutama kepada generasi muda agar ‘tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’ dan dipupuk agar tidak ditelan zaman.
“Masih banyak budaya dan seni etnik di Sabah ini yang belum diterokai sepenuhnya namun dengan penganjuran program seumpama ini, ia akan membuka mata masyarakat luar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai budaya yang ada di Sabah.
“Saya gembira Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Salaq atau Pesta Menuai Sarang Burung ini untuk diketengahkan kepada umum terutama kepada generasi muda,” katanya merasmikan majlis penutupan Pesta Salaq 2022.
Pesta ini adalah anjuran bersama Pejabat Daerah Lahad Datu dan PEIS yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Lahad Datu pada malam Ahad.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berkata, penganjuran Pesta Salaq itu mencapai misi dan matlamat di mana ia dihadiri lebih 400 orang termasuk Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah, Abdul Karim Dakog dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr Rohan Shah Bin Ahmad.
Pesta Salaq diadakan pada 25 hingga 30 Oktober dengan pelbagai pameran, promosi produk berasaskan sarang burung, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan muzik tradisional getitik, tegunggu’, gong dan tambur Ala Ada’ ada’ untuk memanggil orang ramai datang menyaksikannya.
Selain nyanyian lagu tema PEIS, persembahan tarian Persatuan Seni Budaya Idaan Kampung Segama (PSIS), tarian oleh Persatuan Kebudayaan & Kesenian Luk Seban (PERKEKLUS) dan persembahan tarian Persatuan Etnik Begak Tungku juga menghiburkan para hadirin.
Firuz berkata, beliau akan memaklumkan kepada kementerian berkaitan untuk menyalurkan bantuan untuk masyarakat Idahan terutamanya mereka yang terbabit dalam perniagaan sarang burung.
Beliau juga menyarankan supaya Pesta Salaq dimasukkan dalam kalendar aktiviti tahunan Pejabat Daerah Lahad Datu. Ini akan memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh masyarakat Idahan yang berasaskan Sarang Burung.
Sementara itu Abdul Karim berkata, masyarakat Idahan adalah suku kaum yang mewarisi hak untuk menuai sarang burung layang-layang di Gua Madai. Gua Madai adalah sebuah gua batu kapur yang masih produktif menghasilkan sarang burung layang-layang hitam.
Mengenai asal usul kaum Idahan kata Abdul Karim, dahulu mereka dikenali sebagai ‘Bedaro’, tetapi setelah suku ini memeluk agama Islam mereka menukar suku itu kepada Ida’an atau Idahan yang bermaksud baik, jujur dan terbilang.
“Bahasa Idahan merupakan bahasa asli yang dituturi di Kawasan Pantai Timur Sabah. Ia dituturi oleh kaum Idahan dan Begak. Cuma dialek mereka berbeza walaupun mempunyai bahasa yang sama,” katanya.
Suku kaum Idahan dikatakan terkenal dengan khazanah gua sarang burung iaitu Gua Madai dan Gua Tepadung yang diwarisi turun temurun. Kegiatan ekonomi masyarakat Idahan pada zaman dahulu banyak bergantung kepada aktiviti menuai sarang burung dan pertanian.
Pesta Salag dalam istilah etnik Idahan bermaksud sarang burung yang boleh dimakan yang telah dituai dari gua-gua peninggalan nenek moyang yang ada di Gua Baturong, Gua Batu Pang, Gua Batu Timbang, Gua Gomantong, Gua Madai, Gua Sipit, Gua Tegarung (Segarung) dan Gua Tepadung.
Gua-gua ini diiktiraf sebagai hak warisan kaum Idahan.
– Tv Sabah News