Peruntukan untuk warga emas, OKU, ibu tunggal ditambah tahun depan: Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM105.11 juta termasuk RM60 juta untuk bantuan kebajikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal sepanjang 2022 di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan akan meningkatkan jumlah peruntukan dalam bajet 2023 akan datang, sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada mereka yang memerlukanya bantuan terutama
warga emas di negeri ini.
“Sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita sentiasa mengambil berat
keperluan setiap lapisan rakyat terutama golongan yang memerlukan dan kurang
bernasib baik,” katanya.
Kerajaan katanya akan terus menambahbaik sistem penyampaian bantuan kepada
golongan sasar iaitu kepada individu atau keluarga yang kurang berkemampuan atas faktor kesihatan, kecacatan dan kematian.
Untuk itu katanya, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai agenda untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga emas sentiasa terpelihara.
“Ini termasuk menyalurkan peruntukan kepada kementerian dan jabatan berkaitan serta persatuan-persatuan warga emas di seluruh negeri, setiap tahun menerusi Bajet
negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Perayaan Warga Tua Antarabangsa dan Ulang
Tahun Ke-23 Majlis Persatuan Warga Emas Sabah atau COSCA dan majli makan
malam mengumpul dana bagi Bangunan COSCA di sini malam Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Nizam Datuk Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai program untuk membantu kehidupan warga emas seperti memperkenalkan Program ‘Homeward’ yang membabitkan penyertaan komuniti dalam penjagaan kebajikan ahli keluarga terutama golongan warga emas.
“Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) juga mampu meningkatkan
budaya sihat di kalangan warga emas di negeri ini. Kesemua usaha ini jelas
membuktikan bahawa golongan warga emas sentiasa dekat di hati Kerajaan.
“Kita akan memastikan tiada kelompok masyarakat yang tertinggal
daripada menikmati pembangunan dan kesejahteraan. Mereka yang
kurang bernasib baik tidak akan dipinggir atau disisih.
“Sebaliknya mereka akan terus mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada Kerajaan,” katanya.
Mengenai permohonan COSCA supaya kerajaan Sabah membantu persatuan itu untuk
mempunyai bangunan sendiri, kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara ini
dalam usaha membantu warga emas negeri ini.
“Persatuan warga emas termasuk COSCA yang kini berusia lebih 20 tahun memainkan
peranan yang penting untuk membela warga emas. Warga emas adalah sumber yang sangat penting untuk negara kerana mereka juga pernah berjasa kepada negara,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments