KOTA KINABALU, 27 Mac 2025 – Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Sambutan Pesta Kaamatan Tahun 2025. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dalam satu mesyuarat yang diadakan di Wisma Pertanian Sabah hari ini.
Peruntukan tersebut adalah untuk membiayai keseluruhan program dan aktiviti sempena Pesta Kaamatan yang akan diadakan sepanjang bulan Mei 2025 di peringkat negeri dan daerah-daerah di seluruh Sabah.
Katanya, Daerah Tambunan akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.
Selain itu, Buvazoi Tavantang Kaamatan yang dahulunya dikenali sebagai Mr Kaamatan kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada program Pesta Kaamatan, dengan beberapa penambahbaikan dari segi konsep dan aktiviti.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Anwar Ibrahim, dijangka sekali lagi akan dijemput untuk menyempurnakan majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2025 pada 31 Mei 2025.