Monday, December 23, 2024

Pertimbang undi pos bagi penduduk Sabah di Semenanjung

Penolong Setiausaha Agung Star Sabah, Rizal Johari

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang tidak mampu pulang untuk membuang undi kerana tiket penerbangan yang mahal patut dilayakkan untuk mengundi secara pos, demikian saranan seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Penolong Setiausaha Agung Star Sabah Rizal Johari berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, ramai rakyat Sabah terpaksa mencari wang untuk mencukupkan ongkos membeli tiket penerbangan.

“Beberapa ratus ringgit untuk penerbangan sehala adalah terlalu mahal. Maka kenapa tidak layakkan sahaja mereka sebagai pengundi pos,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memahami beban rakyat yang tidak mempunyai wang yang banyak dan melihat tiada cara lain untuk mereka menggunakan hak mengundi selain daripada melakukannya melalui pos.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan undi pos bagi pelajar universiti yang tidak dapat pulang untuk membuang undi.

Menurut Rizal, bukan sahaja pelajar malah ramai rakyat Sabah yang bekerja di luar negeri akan berasa terbeban melakukan perjalanan itu jika tiket penerbangan terlalu mahal.

Dilaporkan purata penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu semasa pilihan raya umum berharga RM355 paling rendah.

Sekurang-kurangnya RM1,000 akan dibelanjakan untuk membeli tiket pergi balik, berdasarkan apa yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Kita mesti mencari jalan untuk mengatasi masalah ini kerana kita tidak mahu sesiapa pun merasakan hak mereka dinafikan untuk mengundi,” kata Rizal.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights