TAWAU: 20 April 2026 – Pihak polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan dalam tempoh kurang 24 jam selepas aduan rogol diterima, yang melibatkan seorang remaja wanita di daerah ini pada 19 April.
Menurut siasatan awal, kejadian bermula di sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central apabila mangsa yang dalam keadaan mabuk dan tidak berdaya dibawa keluar oleh suspek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel.
Mangsa kemudian menyedari dirinya telah dirogol oleh lelaki tersebut.
Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bertindak pantas melancarkan operasi mengesan suspek sebaik sahaja laporan diterima.
Suspek dalam lingkungan 28 tahun, tiada rekod jenayah lampau, berjaya ditangkap di Kampung Pukat, dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan diri, khususnya ketika berada di tempat awam atau dalam situasi berisiko tinggi.
