Perlu rentas parti tuntut dan pertahankan hak Sabah di bawah MA63 – Vun

WhatsApp Image 2026 10 22 at 10.06.28 AM

oleh David E.

KOTA KINABALU: 22 Oktober 2026 – Perjuangan mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak wajar terbatas kepada perbezaan parti politik, kata Ahli Majlis Tertinggi STAR Sabah, Jin Tze Vun.

Beliau menegaskan sokongan penuh terhadap Presiden parti STAR yang juga Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, untuk terus memperjuangkan hak rakyat Sabah di peringkat Persekutuan.

Pada masa sama, Vun menghargai usaha mantan presiden Sabah Law Society (SLS) yang kini berkhidmat sebagai ADUN dilantik, Datuk Roger Chin yang menggunakan saluran undang-undang bagi tujuan sama.

“Kedua-dua usaha ini tidak bercanggah kerana matlamat akhirnya adalah sama, iaitu mempertahankan hak dan masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jin Tze Vun yang juga Penyelaras Parlimen Beaufort merangkap Ketua Bahagian STAR berkata, kepimpinan politik dan tindakan undang-undang saling melengkapi. Baginya, perkara paling penting bukan latar belakang politik, tetapi sejauh mana usaha tersebut membawa kemajuan nyata kepada rakyat Sabah.

Merujuk kepada tinjauan awam mengenai MA63 yang diterbitkan pada 16 Oktober 2026, menganggarkan 19.47 peratus responden menyokong MA63, 6.46 peratus tidak menyokong manakala 74.07 peratus tidak menyatakan pendirian – beliau berkata, walaupun bukan dokumen rasmi kerajaan dan bukan mewakili seluruh Sabah, ia memberikan serba sedikit gambaran yang mungkin wujud.

Vun menegaskan, “tidak menyatakan pendirian” tidak semestinya bermakna menolak MA63. Namun, angka itu menunjukkan keperluan usaha berterusan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai sejarah MA63 dan kedudukan perlembagaan Sabah.

Laporan turut menunjukkan 74.53 peratus responden dalam satu indikator tinjauan menganggap mesej politik berkaitan MA63 mempunyai unsur retorik atau “lakonan”.

“Dapatan ini wajar menjadi peringatan kepada semua pemimpin politik bahawa rakyat bukan sahaja mahu mendengar janji, malah mahu melihat tindakan, ketelusan dan hasil yang boleh dinilai,” katanya.

Beliau menambah, rakyat berhak mengetahui perkara yang telah dicapai, isu yang masih belum diselesaikan dan tindakan seterusnya.

“Kita tidak boleh terus mengulangi slogan MA63 dalam ucapan politik tanpa menjelaskan kepada rakyat sejauh mana hak-hak tersebut telah dilaksanakan,” katanya.

Vun menyeru semua pihak di Sabah supaya memberikan perhatian terhadap pelaksanaan MA63 secara matang, bersatu dan bertanggungjawab.

“MA63 tidak boleh sekadar menjadi slogan politik, tetapi mesti diterjemahkan kepada tanggungjawab dan pelaksanaan yang berterusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal