DOHA: 16 Mac 2026 – Aksi Finalissima yang sepatutnya mempertemukan Sepanyol dan Argentina di Qatar bulan ini dibatalkan susulan ketegangan konflik di Timur Tengah.
Menurut Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), keputusan membatalkan perlawanan itu dibuat selepas rundingan bersama pihak penganjur gagal mendapatkan tarikh dan lokasi alternatif yang sesuai.
Perlawanan yang dijadual berlangsung pada 27 Mac di Stadium Lusail itu dijangka menjadi antara acara utama dalam Qatar Football Festival.
“Ini merupakan satu kekecewaan besar untuk UEFA dan pihak penganjur kerana keadaan semasa dan kekangan masa menyebabkan kedua-dua pasukan tidak dapat bersaing untuk trofi berprestij ini di Qatar,” menurut kenyataan UEFA.
Ketegangan yang tercetus berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran serta tindak balas Iran ke beberapa negara berhampiran dilaporkan menjejaskan pergerakan penerbangan di rantau Teluk.
Pertemuan antara juara Eropah, Sepanyol dan juara Copa America, Argentina itu juga dijangka menarik perhatian dunia kerana kemungkinan menyaksikan bintang Argentina Lionel Messi berdepan pemain muda Sepanyol Lamine Yamal.
Pihak penganjur memaklumkan gangguan ruang udara dan sekatan perjalanan menjadi antara faktor utama yang menyukarkan kehadiran pemain, pegawai dan penyokong ke Doha.
Sebagai langkah penyelesaian, semua penyokong yang telah membeli tiket untuk festival berkenaan akan menerima bayaran balik sepenuhnya.
UEFA sebelum ini turut mengemukakan beberapa cadangan alternatif termasuk mengadakan perlawanan di Stadium Santiago Bernabeu atau menganjurkannya secara dua perlawanan di Sepanyol dan Argentina, namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).
