Perkhidmatan Bas Pelancongan KK Hop On Hop Off Dilancarkan

IMG 20250912 132410 420

KOTA KINABALU : 12 September 2025 – Perkhidmatan bas pelancongan Kota Kinabalu Hop On Hop Off (KK HOHO) dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai inisiatif baharu untuk merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan tempatan di Kota Kinabalu.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew, bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Hj Sabin Samitah.

IMG 20250912 132421 600

Bas dua tingkat setinggi 4.2 meter dengan kapasiti 60 tempat duduk itu beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang dengan kekerapan sekitar satu jam.

Perkhidmatan ini menghubungkan 17 lokasi ikonik termasuk Tanjung Aru, Suria Sabah, Sabah International Convention Centre (SICC), Masjid Bandaraya, Menara Tun Mustapha, Muzium Negeri Sabah dan Menara Jam Atkinson.

Harga tiket ditetapkan pada kadar RM30 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak (5–12 tahun) untuk warganegara Malaysia, manakala pelancong antarabangsa dikenakan bayaran RM45 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak 5–12 tahun).

Tiket sah untuk tempoh 24 jam atau 48 jam bergantung kepada pilihan pembelian.

IMG 20250912 132421 833

Menurut Pengerusi KK Hop On Hop Off Datuk Tan Kok Liang, audio panduan turut disediakan dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Korea dan Jepun, sekali gus memudahkan pengunjung antarabangsa memahami maklumat berkaitan lokasi dan sejarah bandar raya.

1000180820

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan memperkasa sektor pelancongan bandar raya, malah turut membantu perniagaan kecil dan sederhana tempatan serta menempatkan Kota Kinabalu sebaris dengan bandar pelancongan bertaraf dunia.

Turut hadir Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Telekom Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), rakan media serta pihak berkepentingan di 17 hentian utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal