‘Perjuangan Dr Jeffrey belum selesai’
KENINGAU: Perjuangan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan untuk membawa suara Sabah dan rakyat ke Peringkat Persekutuan belum selesai, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, calon Parlimen Keningau itu perlu membawa suara Sabah dan hanya satu sahaja caranya iaitu dengan mengundinya semula dalam pilihan raya umum pada 19 November ini.
“Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri adalah calon yang tepat untuk terus membawa suara negeri Sabah ke Putrajaya sebab beliau berpengalaman dalam perjuangannya untuk menuntut hak-hak Sabah.
“Saya dan kita semua di Sabah memerlukan pemimpin seperti beliau untuk menyelesaikan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya di majlis Ceramah Perdana di Apin-Apin, Keningau di sini pada Khamis.
Hajiji percaya, jika rakyat dan anak muda di kawasan ini terus memberi sokongan kepada calon GRS-BN, mereka bukan saja dapat majoriti yang lebih besar malah ada suara kuat untuk pembangunan di sini.
“Jika tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini iaitu Liawan, Bingkor dan Tambunan kita pegang, saya hairan jika kita tidak berikan kemenangan cemerlang kepada Dr Jeffrey,” katanya.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) memberi peluang kepada anak muda di negeri ini untuk menceburi pelbagai bidang.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pelan pembangunan Hala Tuju Sabah MajuJaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah agenda besar untukmembangunkan negeri ini, termasuk anak muda.
“Kerajaan negeri juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak muda dan rakyat negeri ini. Pelbagai program dan peruntukan berkaitan anak muda disediakan dalam SMJ,” katanya.
Kerajaan hari ini katanya akan membawa Sabah lebih maju, progresif dan bersatu padu demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat di Keningau tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Warisan hanya pandai menjaja fitnah malah Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) juga hanya pandai bercakap, tapi cakap saja tidak cukup jika kita tiada dasar yang baik untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya,” katanya sambil meminta pengundi diKeningau fikirkan masa depan dan nobatkan Dr Jeffrey sebagai Ahli Parlimen Keningau sekali lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik dan Naib Presiden STAR, Datuk Annuar Datuk Ayub.
– TV Sabah News
0 Comments