KOTA KINABALU, 19 Mei 2025 – Pengerusi Jawatan Kuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Tahun 2025, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, bersama ahli-ahli jawatankuasa, telah menghadap Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, hari ini di Istana Seri Kinabalu. Pertemuan itu bertujuan untuk memberikan makluman terkini mengenai persiapan dan pelaksanaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.
Kitingan berkata, beliau telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri dan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan di peringkat negeri Sabah pada 30 Mei 2025, sementara Tun Musa akan merasmikan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei.
Dalam pertemuan tersebut, Kitingan turut menggariskan pelbagai acara yang telah, sedang dan akan berlangsung sempena Pesta Kaamatan tahun ini. Beliau menyatakan bahawa tema tahun ini “Kaamatan Untuk Semua” menekankan pentingnya keterangkuman dalam perayaan ini, dan sebagai wadah untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Sabah yang kaya dan pelbagai.
Kitingan turut memaklumkan tentang perkembangan positif sambutan Pesta Kaamatan yang kini turut diraikan di Putrajaya, Klang Valley, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan. Sambutan meluas ini membuktikan bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi perayaan penting bagi masyarakat Sabah, tetapi juga telah mendapat pengiktirafan dan sambutan di peringkat nasional.
Semasa majlis penutupan pada 31 Mei nanti, Tun Musa dijadualkan melawat rumah-rumah tradisi yang didirikan di perkarangan KDCA. Lawatan ini akan memberikan peluang kepada Tun untuk menyaksikan secara langsung keunikan seni budaya, tarian, alat muzik, dan pelbagai makanan tradisi yang mewakili kepelbagaian etnik di Sabah.
Kitingan berharap lawatan itu akan memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Sabah yang terus dipelihara dan diraikan melalui Pesta Kaamatan.
“Kaamatan merupakan wadah penting untuk menggerakkan ekonomi Sabah, sebab itu kerajaan memberi peruntukan besar untuk menjayakan pelbagai aktiviti bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Sarawak dan Semenanjung.
“Sambutan Kaamatan kini menjadi festival peringkat kebangsaan dan memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan pelancongan,” katanya kepada wartawan selepas selesai menghadap Tun Musa.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Peto Galim dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Leonard Poyong.