KLANG: Seorang lelaki memandu laju di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, pagi Rabu.
Tertuduh berusia lingkungan 20-an itu didakwa atas kesalahan berkenaan selepas ditahan susulan kejadian pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi di Jalan Raya Barat, tertuduh yang memandu kereta jenis Honda City dari arah Bandar Klang dipercayai memandu laju dan memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kenderaan itu kemudian melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan, menyebabkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Mangsa, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, bekerja di sebuah gudang dan turut melakukan kerja penghantaran barang, meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah ketika kejadian.
