Penjawat Awam Tidak Mengaku Bersalah Atas 30 Pertuduhan Rasuah Lebih RM87,000

KOTA KINABALU: 8 Oktober 2025 – Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah atas 30 pertuduhan menerima dan cuba memperoleh suapan berjumlah lebih RM87,000 ketika bertugas di Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah.

Tertuduh, Normila Ladahali, 49, yang bertugas sebagai Pemangku Pegawai Tadbir Gred N41 di Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.

Daripada keseluruhan pertuduhan, 18 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 12 pertuduhan lagi di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan di bawah Akta SPRM, Normila didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan sebanyak RM55,311.30 dari seorang individu sebagai dorongan untuk memberikan kerja-kerja di Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah kepada beberapa syarikat tertentu.

Transaksi tersebut didakwa dilakukan antara November 2022 hingga Oktober 2023, melibatkan akaun bank di Maybank cawangan Alam Mesra.

Sementara itu, bagi 12 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, Normila didakwa menerima wang berjumlah RM32,500 dari dua individu yang mempunyai urusan rasmi dengannya, antara April 2022 hingga Jun 2023, turut dimasukkan ke akaun bank anak-anaknya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM2,000 serta seorang penjamin tempatan.

Syarat tambahan turut dikenakan termasuk melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, hukuman maksimum ialah penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal