KOTA KINABALU: 23 Januari 2026 – Bendahari Agung STAR Sabah, Raffee Shakir, menggesa semua pihak, termasuk para ahli politik dan penjawat awam, mengutamakan kesatuan dan kematangan politik dalam setiap pendirian dan keputusan yang melibatkan kepentingan dan masa depan wilayah Sabah.
Beliau berkata, ahli politik berperanan sebagai pembela nasib rakyat, dan sebagai tulang belakang kepada pimpinan Ketua Menteri dalam menentukan dasar dan keputusan penting untuk wilayah.
“Dalam hal-hal yang melibatkan dasar-dasar atau keputusan-keputusan Ketua Menteri atau Menteri-menteri, penjawat-penjawat awam seharusnya tidak masuk campur. Peranan mereka adalah melaksanakan dasar secara profesional, bukan menilai atau mempengaruhi keputusan pimpinan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Raffee menegaskan bahawa kesetiaan kepada sumpah perkhidmatan dan komitmen tugasan adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran wilayah, dan ia mesti dihormati serta dipelihara pada setiap masa.
“Kenyataan ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebagai peringatan membina agar semua pihak kembali kepada prinsip asas – meletakkan kepentingan Sabah dan rakyatnya sebagai keutamaan. Kesatuan dalam perkara asas, khususnya yang melibatkan hak, maruah, dan kedaulatan wilayah, adalah penting bagi memastikan Sabah terus dilihat sebagai wilayah yang matang, bersatu, dan berwibawa,” tegasnya.
Merujuk kepada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan rasuah, Rafee menekankan bahawa pembersihan dan usaha menurunkan indeks persepsi rasuah perlu bermula dari setiap pejabat dan pentadbiran kerajaan sendiri, dengan komitmen penuh terhadap integriti dan ketelusan.
“Sabah kini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk isu kedaulatan, tuntutan luar terhadap wilayah, dan masalah berpanjangan berkaitan bekalan air, elektrik, termasuk prasarana asas. Semua ini menuntut pendekatan yang bersatu, berdisiplin, dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam politik adalah lumrah, tetapi dalam isu asas yang menyentuh hak, maruah, dan masa depan Sabah, semua pihak perlu memegang pendirian bersama.
“Sebagai contoh, dalam menuntut hak-hak Sabah seperti pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak 40 peratus hasil wilayah, suara Sabah perlu disuarakan secara bersatu tanpa mengira perbezaan politik,” jelas Raffee.
