Penipuan Jual Beli Kenderaan Atas Talian Rugikan Mangsa Lebih RM35,000

photo 6330167794829299387 y

KOTA MARUDU: 29 Januari 2026 — Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kota Marudu mengesahkan menerima beberapa laporan berkaitan kes penipuan pembelian kenderaan, pelaburan serta urus niaga barangan tidak wujud melalui platform Facebook Marketplace.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simon Lumbodin berkata, rekod terkini Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) menunjukkan jumlah kerugian akibat penipuan tersebut mencecah RM35,224.05, membabitkan mangsa dari pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam dan orang awam, kebanyakannya dari daerah Pitas dan sekitar Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek mengiklankan kenderaan atau barangan dengan harga terlalu murah bagi menarik minat mangsa sebelum menghubungi mereka melalui “WhatsApp” atau “Facebook Messenger” dan mengarahkan bayaran dibuat ke akaun tertentu atas alasan deposit tempahan, insurans atau kos penghantaran.

Namun selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi dan iklan turut dipadamkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menjalankan urus niaga atas talian, membuat semakan latar belakang penjual serta tidak membuat sebarang bayaran tanpa pengesahan sah.

Mangsa penipuan juga digesa segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Sumber: Polis Daerah Kota Marudu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal