SEMPORNA: 18 Mac 2026 — Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam satu serbuan kerana menjual mercun dan bunga api tanpa lesen yang sah.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah, pelbagai jenis mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan, bernilai RM313, turut dirampas dalam operasi tersebut dan suspek kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya sebelum ini telah meluluskan lapan lesen daripada 11 permohonan bagi penjualan bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri, manakala tiga permohonan ditolak. Namun, masih terdapat individu yang mengambil kesempatan menjalankan aktiviti penjualan tanpa kebenaran.

Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak bermain atau membakar mercun secara sewenang-wenangnya, khususnya di kawasan awam dan lokasi tumpuan pelancong.
Tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan mudarat awam serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang melibatkan kecuaian dalam pengendalian bahan letupan yang boleh membahayakan nyawa.
Polis juga telah mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk mempertingkatkan pemantauan di lokasi berisiko susulan aduan orang ramai.
Sumber: Polis Daerah Semporna
