KOTA KINABALU: 6 Februari 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menegaskan bahawa pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan tanaman guarana di Sabah tidak dibenarkan bagi mengelak implikasi perundangan dari Kerajaan Brazil ekoran kenyataan Jabatan Pertanian Malaysia bahawa pengimportan dan penanaman guarana di Malaysia termasuk Sabah adalah tidak dibenarkan.
“Ini selaras dengan pemakluman rasmi Ministry of Agriculture, Livestock and Food Supply (MAPA), Brazil melalui surat OFÍCIO Nº 5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 di mana negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana untuk pemprosesan dan makanan manusia sahaja dan mana-mana pihak yang menanam guarana tanpa kebenaran berisiko dikenakan tindakan perundangan, termasuk amaran, penyitaan, dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil,” kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelasnya, Guarana merupakan tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil. Lembah Amazon merupakan kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit South American Leaf Blight (SALB) yang disebabkan oleh kulat Microcyclus ulei yang disenaraikan sebagai perosak berbahaya dalam Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pengurangan hasil latex, pokok getah terbantut, kematian pokok getah dan berpotensi menjejaskan industri getah negara khususnya di negeri Sabah dengan keluasan 241,565 hektar dan pengeluaran hasil sebanyak 75,760 tan (2024) serta memberi pendapatan kepada pekebun kecil bernilai RM287.8 juta.
Selain itu katanya, Guarana turut berisiko membawa penyakit baharu seperti Colletotrichum guaranicola yang menyerang guarana, tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga dan cili yang akan mengancam keselamatan agromakanan negeri. Maka Jabatan Pertanian Sabah tidak membenarkan pengimportan tumbuhan, produk pertanian dan artikel terkawal dari negara Brazil.
Selaras dengan Peraturan no.5, Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167), sebarang aktiviti membawa masuk tumbuhan, produk pertanian atau artikel terkawal adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah melalui Permit Import atau Sijil Pemeriksaan dan kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.00.
“Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) yang disiarkan melalui Warta Kerajaan pada 1 Disember 2025 oleh Jabatan Peguam Negara, menyatakan bahawa Tumbuhan Berbahaya merujuk kepada bahan tanaman tidak sah, termasuk apa-apa tumbuhan yang dibawa masuk atau dibiakkan dari mana-mana bahan tanaman yang tidak melalui tatacara pengimportan dan pemeriksaan di pintu masuk, atau yang tidak menjalani tatacara kuarantin selepas dibawa masuk,” tegasnya.
Beliau berkata, setakat ini, MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan pengimportan bahan tanaman guarana. Sebarang bahan tanaman guarana yang dibawa masuk secara tidak sah adalah melanggar undang-undang Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.
Jamawai memberi peringatan, katanya “MAFFI menegaskan agar semua pihak tidak terlibat dalam pengimportan, pembiakan, penanaman dan penyelidikan guarana dan sentiasa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan demi melindungi industri pertanian, keselamatan biodiversiti, dan keterjaminan makanan negeri Sabah.”
