KUALA LUMPUR, 1 Julai – Individu yang didapati menggunakan daun ketum boleh diarahkan menjalani rawatan dan pemulihan, meskipun tidak menunjukkan tanda-tanda ketagihan. Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), peruntukan ini dibuat bagi menghalang penggunaan bahan itu daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, tindakan ini selaras dengan Seksyen 6 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang membolehkan pengguna bahan psikoaktif seperti ketum dikenakan perintah rawatan.
“Walaupun mereka bukan penagih tegar, jika ujian saringan air kencing mendapati positif ketum, mereka boleh diarahkan menjalani pemulihan,” katanya ketika ditemui media selepas program Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat kebangsaan di sini semalam.
Menurut Sutekno, langkah ini juga penting bagi membendung risiko pengguna menjadi penagih pada masa depan, selain mengelakkan gejala akibat salah guna ketum menjadi semakin serius di negara ini.
Beliau menambah, kebanyakan kes pengguna ketum yang dikesan melibatkan golongan muda, termasuk pelajar sekolah dan belia di kawasan luar bandar. Justeru, pihak AADK kini sedang giat melaksanakan program pencegahan dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penggunaan ketum.
Dalam pada itu, AADK turut mengalu-alukan penglibatan ibu bapa dan komuniti untuk menyalurkan maklumat jika mengesyaki aktiviti penyalahgunaan ketum di kawasan mereka.
Daun ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa kini tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952 dan penggunaannya tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.
Sumber, Astro Awani