Penangguhan jejaskan momentum pelaksanaan hak 40% Sabah – Roger Chin

Mohd Khalid Ismail 1

KOTA KINABALU: 6 April 2026 – Keputusan Mahkamah Rayuan menangguhkan pelaksanaan arahan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40% Sabah dilihat menjejaskan momentum penyelesaian isu berkenaan.

Ahli Pasukan Penasihat merangkap ADUN Dilantik, Roger Chin berkata, penangguhan itu tidak menjejaskan kewujudan hak Sabah, namun memberi kesan kepada garis masa yang sebelum ini ditetapkan untuk mempercepatkan pelaksanaan.

Beliau berkata, sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan tempoh jelas bagi semakan dan penyelesaian, sekali gus memastikan isu tersebut tidak terus tertangguh.

Menurutnya, tanpa tempoh masa yang mengikat, isu itu berisiko kembali berlarutan seperti sebelum ini dan hanya bergantung kepada proses rundingan.

Roger turut berpandangan alasan kerumitan teknikal dan melibatkan rekod kewangan yang besar tidak seharusnya terus dijadikan sebab untuk menangguhkan pelaksanaan, memandangkan perkara itu telah berlarutan sejak sekian lama.

“Isu ini bukan soal sama ada hak itu wujud atau tidak, tetapi sama ada ia dilaksanakan dalam tempoh munasabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat penangguhan oleh mahkamah, tiada halangan untuk kerajaan meneruskan proses semakan secara pentadbiran sementara menunggu keputusan rayuan.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan situasi semasa sebagai ujian terhadap kesungguhan kerajaan dalam menunaikan komitmen berkaitan hak Sabah.

“Sabah tidak menuntut perkara baharu, sebaliknya hanya menuntut pelaksanaan hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal