Pemuda UMNO gesa syarikat besar di Sabah segera bantu mangsa bencana

KOTA KINABALU: 19 September 2025 – Pemuda UMNO menggesa syarikat besar di Sabah segera tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh.

Bendahari Pemuda UMNO, Mohd Kurniawan Naim Moktar, berkata gesaan itu dibuat berikutan rasa kecewa terhadap syarikat-syarikat berkenaan yang telah lama meraih keuntungan di bumi Sabah tetapi tidak menunjukkan keprihatinan ketika rakyat ditimpa musibah.

Beliau menegaskan syarikat terbabit sepatutnya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menunjukkan jiwa kemanusiaan ketika rakyat berdepan kesusahan.

Menurutnya, syarikat gergasi di Semenanjung berlumba-lumba menyalurkan bantuan apabila bencana berlaku, namun keadaan sebaliknya berlaku di Sabah apabila suara mereka hilang.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada nyawa rakyat Sabah tidak dinilai sama dengan rakyat di negeri lain.

Naim berkata bencana tidak boleh ditanggung sendirian kerana Sabah bukan anak tiri Malaysia dan rakyat negeri ini berhak mendapat sokongan serta bantuan segera dari semua pihak.

Beliau turut mengajak semua pihak berganding bahu dan tidak membiarkan rakyat Sabah terus hanyut dalam penderitaan sementara yang lain hanya menjadi penonton.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal