Tuesday, January 14, 2025

Pemuda, Puteri Umno dinasihat kempen secara positif

Suhaimi (duduk, 4 dari kiri) bersama tenaga pengajar dan peserta kursus.

Melor Putih

SANDAKAN: Pemuda dan Puteri Umno Libaran diingatkan untuk memperkukuhkan hubungan persaudaraan dan persahabatan dengan semua orang tanpa mengira ideologi politik semasa berkempen pada Pilihan Raya ke-15.

Ketua Umno Bahagian Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata, Pemuda dan Puteri perlulah mengamalkan budaya politik yang positif semasa berkempen.

“Semasa berkempen nanti, elakkan menggunakan bahasa kasar dan kurang sopan, lebih-lebih lagi menggunakan analogi yang menghina.

“Ketika berucap dengan orang awam nanti, jangan mengarut, jangan berjanji itu dan ini, bercakap haruslah mempunyai pengetahuan,” katanya ketika merasmikan penutupan kursus pemantapan pengucapan awam untuk Pemuda dan Puteri Umno Libaran di Hotel Livingston pada Khamis petang.

Beliau memberitahu bahawa walaupun semua tahu berucap dengan orang awam, tetapi ramai yang malas membaca dan apabila kurang membaca maka kuranglah pengetahuan.

“Oleh itu, banyakkan lah membaca,” katanya menasihat para hadirin kursus.

Seramai 83 Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Libaran menyertai program sehari itu yang dikendalikan oleh Institut Impian Sabah.

Mengulas mengenai kursus itu, Suhaimi berkata, ia memberi peluang kepada semua Pemuda dan Puteri untuk belajar dan membina keyakinan diri ketika berucap di tempat awam.

“Jika boleh, saya ingin kursus seumpama ini dijadikan program berkala untuk memantapkan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Libaran kerana mereka inilah yang akan menjadi pelapis dan meneruskan perjuangan Umno di masa akan datang.

“Kita ingin melahirkan pemimpin-pemimpin berkualiti, berketrampilan dan bijak berucap di hadapan ribuan orang,” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights