KOTA KINABALU : 4 Oktober 2025 — Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan komitmen penuh untuk menyokong segala keputusan kepimpinan tertinggi parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Dr Christopher Mandut berkata, mesyuarat Biro Politik Pemuda PBS yang berlangsung pada Jumaat memberi tumpuan kepada persediaan menjelang PRN selain membincangkan pelbagai isu semasa yang dihadapi parti.
Beliau menegaskan Pemuda PBS akan terus menyokong setiap keputusan yang dibawa oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam, dan menyokong pendirian kepimpinan parti untuk kekal berjuang dalam wadah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurutnya, Pemuda PBS akan menggembleng sepenuh tenaga bagi membantu semua calon GRS yang diketengahkan, bukan sahaja dari PBS malah dari parti komponen lain yang bertanding dalam PRN akan datang.
Christopher yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, kesatuan dan sokongan padu Pemuda PBS terhadap GRS akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu dalam pilihan raya kelak.
Sumber : Sabah Media
