Pemimpin Sabah Star Beaufort Seru Kaedah Pam Pasir di Sungai Padas Tangani Isu Banjir

Abun

PENAMPANG: Pemangku Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanahairku (Sabah Star) Beaufort, Jin Tze Vun, mencandangkan agar Kerajaan Sabah melaksanakan teknik pengepaman pasir menggunakan pam hidraulik di Sungai Padas sebagai penyelesaian kepada masalah banjir yang berterusan di Beaufort dan kawasan sekitar.

Jin menegaskan bahawa pasir telah terkumpul di dasar sungai sejak bertahun-tahun, sekali gus mengurangkan kapasiti sungai dan meningkatkan risiko limpahan air ketika hujan lebat.

Jin mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan permit kepada kontraktor yang berwibawa dan mempunyai kepakaran serta jentera yang diperlukan untuk melaksanakan projek pengepaman pasir tersebut. Beliau menekankan bahawa kontraktor yang berpengalaman dan mempunyai akses kepada pam hidraulik adalah penting bagi memastikan kejayaan inisiatif ini.

“Pengumpulan pasir dan mendapan di Sungai Padas telah berlaku selama berdekad-dekad, dan ini merupakan salah satu punca utama ketidakupayaan sungai untuk menampung jumlah air yang besar dengan berkesan,” kata Jin selepas menerima mandat rasmi untuk mengetuai bahagian tersebut dari Presiden parti, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, hari ini. Jin mengambil alih dari Aliapa Osman yang telah berkhidmat selama 16 tahun.

“Dengan menyedut keluar pasir yang terkumpul dari dasar sungai, kita boleh memperdalamkan sungai tersebut, sekali gus membolehkannya menampung lebih banyak air ketika hujan lebat dan akhirnya mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya.”

Seruan Jin dibuat susulan hujan lebat sebelum ini dan peningkatan paras air banjir yang telah menyebabkan kerosakan meluas di Beaufort dan daerah berhampiran. Beliau menyatakan bahawa kaedah pengurusan banjir sedia ada tidak lagi mencukupi, dan pendekatan baharu perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan kesan kepada penduduk.

Penggunaan teknik pam pasir hidraulik melibatkan penggunaan air atau udara bertekanan tinggi yang menukarkan pasir terkumpul menjadi campuran lumpur (sluri), yang kemudiannya dipam keluar melalui saluran paip ke lokasi yang ditetapkan. Kaedah ini, menurut Jin, adalah jauh kurang mengganggu berbanding kerja pengorekan tradisional, serta menawarkan alternatif yang lebih tepat dan terkawal dari segi alam sekitar.

“Kita memerlukan pendekatan proaktif dalam pencegahan banjir, dan pengepaman pasir hidraulik boleh menjadi komponen penting dalam penyelesaian tersebut. Sungai Padas merupakan laluan air penting bagi komuniti tempatan, dan pendalamannya boleh memberikan kelegaan yang sangat diperlukan ketika musim banjir,” tambah beliau.

Ketua Bahagian Beaufort itu turut menggesa kerajaan negeri mempercepatkan proses kelulusan permit kepada kontraktor yang layak, dengan menekankan keutamaan terhadap keselamatan, aspek alam sekitar dan strategi mitigasi banjir yang berkesan dalam perancangan projek.

Ketika komuniti menantikan respons kerajaan, Jin berharap inisiatif ini akan mencetuskan perbincangan lanjut mengenai penyelesaian jangka panjang pengurusan banjir di Sabah, khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir bermusim.

Sementara itu, Jin dilihat sebagai individu yang tepat untuk memimpin bahagian tersebut berdasarkan prestasi cemerlangnya sebagai Penyelaras Parlimen Beaufort. Beliau dikenali sebagai pemimpin yang aktif mendekati akar umbi dan berjaya menarik ramai ahli baharu, sekali gus menyuntik semangat baharu dalam bahagian itu.

Sebagai satu-satunya pemimpin berbangsa Cina dalam Bahagian Beaufort, pelantikannya mencerminkan komitmen kuat kepimpinan parti terhadap kepelbagaian kaum serta pengiktirafan terhadap merit dan dedikasinya.

Dr Jeffrey menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan tersebut, sambil memuji kebolehan organisasi dan kesetiaan Jin yang telah meraih kepercayaan ahli akar umbi. Beliau yakin Jin mampu membawa Bahagian Beaufort ke tahap yang lebih tinggi berdasarkan rekod prestasinya.

Jin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden parti. Beliau berjanji untuk meneruskan asas kukuh yang dibina oleh Ali Akbar sambil memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya akan memimpin pasukan untuk terus memperluaskan keahlian dan memastikan ideologi parti sampai ke setiap pelosok Beaufort. Dengan komitmen penuh, saya akan memimpin Bahagian Beaufort menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum akan datang demi memperjuangkan hak rakyat Beaufort, selaras dengan mandat yang diberikan oleh Presiden,” tegas beliau.

Jin turut menambah bahawa sebagai pemimpin tempatan, beliau akan menyumbang dalam menangani cabaran yang dihadapi penduduk di Parlimen Beaufort, khususnya isu banjir dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat, terutamanya golongan belia.

Gambar: Jin (dua dari kiri) menerima perlantikan beliau dari Dr Jeffrey sambil disaksikan oleh Aliapa dan Ketua Wanita bahagian Noria Balang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal