KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Kenny Chua, menyeru rakyat Sabah agar menggunakan kebijaksanaan dalam menilai tuduhan terkini yang dikaitkan dengan skandal pelesenan perlombongan melibatkan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa para pemimpin negeri.
Kontroversi ini semakin hangat selepas satu lagi video muncul yang didakwa mengaitkan Dr Jeffrey dengan skandal tersebut. Namun, Kenny menyifatkan perkembangan ini sebagai tidak menghairankan memandangkan sejarah politik Sabah yang penuh dengan pergolakan.
“Landskap politik Sabah secara historinya dipenuhi dengan ketidaktentuan dan kontroversi, khususnya semasa musim pilihan raya. Penting untuk rakyat Sabah merenung perkara ini dan menyedari corak yang telah lama berlaku,” kata Kenny dalam satu kenyataan.
“Tuduhan dan video ini adalah sebahagian daripada skrip politik yang biasa digunakan untuk memanipulasi persepsi awam.”
Kenny menekankan bahawa pelbagai kuasa politik yang mahu mengekalkan cengkaman mereka ke atas Sabah sering menggunakan taktik yang mencetuskan perpecahan dan ketidakstabilan.
Beliau merujuk kepada peristiwa sejarah untuk menggambarkan ketegangan lama antara persekutuan dan negeri, terutamanya merujuk kepada Pilihan Raya Umum 1990 sebagai titik perubahan penting.
Pada tahun 1990, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipimpin oleh Datuk Pairin Kitingan membuat keputusan drastik untuk keluar daripada gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya umum. Tindakan ini diambil selepas rayuan kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, agar mempertahankan hak dan kepentingan Sabah ditolak. PBS kemudian bergabung dengan Semangat 46, parti serpihan UMNO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah, saingan politik Mahathir.
Gabungan ini bertujuan menumbangkan BN dengan memperoleh majoriti di Parlimen, dengan PBS dijangka memainkan peranan penting di Sabah. Namun, strategi itu gagal apabila BN terus mengekalkan kuasa dengan majoriti besar. Pilihan raya itu juga dicemari dengan eksploitasi sentimen perkauman dan keagamaan, yang menurut ramai penganalisis, menyumbang kepada kekalahan pembangkang. Tengku Razaleigh turut digambarkan oleh media pro-BN sebagai penyokong usaha pengkristianan di Sabah — satu tindakan yang merosakkan sokongan beliau di negeri ini.
Kenny berkata, episod-episod seperti ini telah menyumbang kepada rasa kecewa yang semakin mendalam dalam kalangan rakyat Sabah terhadap politik persekutuan yang dilihat mengabaikan autonomi dan kepentingan negeri.
Mengulas mengenai kontroversi video melibatkan Albert Tei, Kenny mempersoalkan masa dan niat di sebalik penyebarannya. Beliau menyatakan bagaimana transaksi kewangan ditekankan dengan cara yang sangat terancang, serta sikap angkuh individu terlibat, yang menurutnya mencerminkan agenda politik yang lebih besar.
“Rakyat Sabah perlu melihat melangkaui permukaan dan mengenal pasti siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada penaburan rasa tidak percaya dan perpecahan rakyat Sabah ini,” katanya.
“Kuasa-kuasa yang telah mengawal naratif politik Sabah selama berdekad-dekad masih berperanan, cuba memecah-belahkan perpaduan kita.”
Skandal ini muncul di tengah-tengah perhatian awam yang semakin meningkat terhadap ketelusan dan tadbir urus dalam sektor pengurusan sumber Sabah, khususnya dalam pelesenan perlombongan — isu yang sekian lama menjadi panas disebabkan oleh dakwaan rasuah dan salah urus.
Ketika drama politik ini terus berkembang, beliau mengingatkan rakyat Sabah tentang sejarah mereka dan pentingnya membuat penilaian yang bijak dalam mengharungi realiti politik negeri yang rumit.
“Mereka boleh gunakan semua taktik kotor terhadap kita. Tapi saya percaya: pilihan raya akan datang ini adalah detik penentu bagi Sabah ketika kita berusaha memutuskan belenggu yang mengikat kita selama beberapa dekad. Kita kini cukup bijak untuk membezakan antara permainan politik mereka dan takdir politik Sabah yang berada di tangan kita sendiri.
“Tapi kita semua tahu mereka tidak mahu kehilangan kuasa mereka ke atas negeri tercinta ini dan akan sanggup melakukan apa saja untuk terus mengawal kita. Ramai anak muda Sabah sedar akan perkara ini dan saya tidak dapat menggambarkan betapa marahnya mereka. Mereka layak menerima sesuatu yang jauh lebih baik dan titik perubahaan perlu bermula sekarang,” katanya.
