KOTA KINABALU: 11 November 2025 – Kenyataan terkini oleh Perdana Menteri mengenai hak perlembagaan 40 peratus Sabah mencerminkan campuran sikap angkuh dan kekeliruan. Ia menunjukkan bahawa pemimpin persekutuan masih menganggap hak Sabah seolah-olah hanya pemberian dari Putrajaya. Sikap sebegini jauh dari Perlembagaan Persekutuan dan semangat yang membina Malaysia.
“Hak 40 peratus bukanlah sedekah. Ia adalah undang-undang,” kata Presiden STARSABAH dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, perkara 112C jelas menyatakan bahawa ia adalah hak perlembagaan Sabah. Ia bukanlah token yang boleh dirunding dan pasti tidak boleh dicampur adukkan dengan perbelanjaan persekutuan biasa untuk sekolah atau hospital.
Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Datuk Roger Chin, benar apabila berkata perbandingan Perdana Menteri antara “RM10 bilion yang dikutip” dan “RM17 bilion yang dibelanjakan” adalah tidak bermakna.
Perbelanjaan pembangunan adalah tanggungjawab persekutuan untuk setiap negeri. Hak 40 peratus adalah bayaran balik berasingan yang terhutang kepada Sabah. Saya telah menyatakan perkara ini sebelum ini apabila Setiausaha Agung Perbendaharaan Persekutuan membuat kenyataan yang pada dasarnya sama seperti yang kini diulangi oleh Perdana Menteri.
Mengenai jumlah sebenar hasil yang diperoleh kerajaan persekutuan dari Sabah, fakta telahpun diserahkan. Rekod menunjukkan jumlah itu melebihi RM50 bilion setiap tahun sejak 2023.
Memberi kenyataan yang bertentangan merupakan penghinaan kepada setiap pembayar cukai Sabah. Ketelusan adalah minimum dalam tadbir urus yang baik. Terbitkan data. Tunjukkan apa yang dikutip, apa yang dikembalikan, dan apa yang ditahan.
Apabila Perdana Menteri meminta rakyat Sabah membawa fakta dan angka, beliau lupa bahawa fakta-fakta itu terkunci di Putrajaya.
“Bagaimana rakyat Sabah boleh membawa fakta apabila Kerajaan Persekutuan sendiri enggan mengeluarkannya? Ini adalah klasik iaitu sikap merendah-rendahkan, satu percubaan bermuka-muka untuk mengalihkan kegagalan perlembagaan dengan meletakkan beban kepada mangsa,” tegasnya.
Jeffrey menegaskan lagi bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melanggar Perlembagaan dengan menahan hak 40 peratus Sabah. Sebarang usaha untuk melengahkan atau merayu keputusan itu adalah satu lagi pengkhianatan.
Menurutnya lagi, peletakan jawatan seorang menteri persekutuan utama dari Sabah baru-baru ini tidak boleh diabaikan. Ia menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam Kabinet tahu apa yang bakal berlaku. Mereka faham implikasinya.
“Sabah tidak akan terus berdiam diri. Rakyat berhak mendapat kejujuran. Kami menyeru ketelusan sepenuhnya, pematuhan segera arahan Mahkamah Tinggi, dan penghentian sikap kolonial yang dikamuflaj sebagai federalisme ini,” tegasnya.
Malaysia dibina atas kepercayaan. Kekalkan kepercayaan itu atau hilang sepenuhnya keyakinan Sabah.

