KOTA KINABALU: 9 Februari 2026- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun.
Menurut beliau, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri Sabah, malah kepada negara.
“Kerajaan Negeri Sabah amat berdukacita atas pemergian Tan Sri Simon Sipaun, seorang tokoh pentadbiran yang berwibawa, berprinsip dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan pada ahad.
Hajiji berkata, sepanjang perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari tahun 1988 hingga 1993, mendiang telah memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh tadbir urus dan perkhidmatan awam negeri.
Beliau turut menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang berani dan konsisten memperjuangkan isu demokrasi, hak asasi manusia serta hak-hak Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sumbangan mendiang sebagai Naib Pengerusi SUHAKAM juga membuktikan komitmen beliau yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan sivil dan hak rakyat,” tambahnya.
Menurut Hajiji lagi, legasi dan kepimpinan mendiang akan terus dikenang sebagai contoh teladan kepada generasi penjawat awam dan pemimpin masa hadapan.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan Tan Sri Simon Sipaun kepada negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
Sumber: Hajiji Haji Noor
