Pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) Tidak Aktif Wajib Duduki Semula Ujian – JPJ

PUTRAJAYA: 20 September 2025 – Pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang berstatus tidak aktif wajib menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ujian itu perlu diambil di mana-mana institut memandu berdekatan bagi mengaktifkan semula lesen mereka.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah ini selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan semua individu memiliki lesen memandu sah dan berkuat kuasa ketika memandu kenderaan di jalan raya.

Beliau menegaskan bahawa memandu menggunakan lesen tidak aktif adalah satu kesalahan kerana tindakan itu boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pemandu sendiri serta pengguna jalan raya lain.

JPJ mendedahkan terdapat 2.3 juta pemegang CDL yang kini berada dalam status tidak aktif sama ada kerana lesen telah tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.

Sementara itu, Aedy Fadly menyeru pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun supaya segera memperbaharui lesen

Pembaharuan lesen boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau di kaunter JPJ seluruh negara.

Tindakan segera itu penting bagi mengelakkan kewajipan menduduki semula KPP02 dan KPP03.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal