Pembunuh gajah Pygmy diburu, ganjaran RM10,000

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah telah menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat yang membawa kepada penahanan, pendakwaan, dan sabitan ke atas pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan gajah Pygmy Borneo di negeri ini.


Menteri berkenaan, Datuk Christina Liew, menyeru kepada saksi yang mengetahui kejadian kejam tersebut agar tampil memberi maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyelesaikan siasatan.


“Keputusan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 ini dibuat dalam mesyuarat peringkat menteri yang diadakan pada hari Rabu yang lalu, selepas penemuan seekor lagi gajah yang telah dipenggal kepalanya. Ini adalah satu lagi kes yang mengejutkan yang dilaporkan sejak Januari lalu. Kami memerlukan bukti yang kukuh untuk mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Liew juga mengingatkan agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pembunuhan haiwan tersebut supaya melaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) atau pihak polis bagi membantu siasatan, agar pelaku dapat dihadapkan ke muka pengadilan.


Sebelum ini, SWD telah mengesahkan bahawa seekor lagi gajah Pygmy Borneo telah dijumpai dibunuh dengan cara yang kejam, kepala gajah tersebut dipenggal dan dibiarkan reput di Tawau, baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal