Pelajar Sabah Terpilih Artikel Terbaik Dalam Penerbitan Majalah Nusantara

photo 2026 01 12 17 46 14

KENINGAU: Empat orang pelajar daripada Kolej Vokasional (KV) Keningau telah berjaya menerima pengiktirafan penulis artikel terbaik oleh majalah dwi-bahasa E-Magz keluaran institut pendidikan STIKIP PGRI Pacitan, Indonesia, dengan artikel bahasa Inggeris masing-masing yang diterbitkan pada 31 Disember 2025.

Tema majalah tersebut bagi edisi itu adalah kekuatan cinta ibu dan keempat-empat pelajar ini adalah Iris Sofea Irfin, Ashraf Alexander Anuar, Siti Nur Syahzanani Wani Asyiqin Sudirman dan Aulia Anastasya Mohd Fauzi.

Iris Sofea Irfin, 17, daripada program pendidikan awal kanak-kanak, berpendapat seorang ibu tidak semestinya mempunyai hubungan darah dengan anak-anak yang diasuh dan dididik seperti ibu tiri dan ibu angkat kerana kasih sayang seorang wanita terhadap anak-anak di bawah jagaannya merupakan bukti keibuaan seseorang.

Siti Nur Syahzanani Sudirman, 16, menjelaskan bagaimana seorang ibu sanggup berkorban segala-galanya demi membesarkan anak-anak dengan baik manakala Aulia Anastasya Mohd Fauzi, 16, mengulas bagaimana sambutan hari ibu bukan semata-mata meraihkan hari tersebut dengan hadiah atau majlis malah ianya adalah hari yang didedikasikan untuk memahami kesusahan yang dihadapi oleh ibu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kedua-kedua pelajar ini adalah daripada program bakeri dan pastri. Pelajar keempat iaitu Ashraf Alexander Anuar, 16, daripada program seni kulinari, menceritakan bagaimana tiada batasan bagi apa yang seorang ibu mampu lakukan kerana ianya merupakan satu tanggungjawab yang memerlukan pelbagai peranan.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, memuji pencapaian para pelajar ini yang menghasilkan karya penulisan dalam bahasa Inggeris kerana ianya mampu meningkatkan kemahiran berfikir, kemahiran menulis dan kecekapan mereka menggunakan bahasa Inggeris dan dia berharap agar para pelajar di kolej tersebut terus mengamalkan penulisan dan penerbitan artikel terutamanya dalam bahasa Inggeris.

Majalah tersebut boleh diakses melalui pautan https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal