BANTING: 18 Ogos 2025 – Pasukan pelajar program seni kulinari dari Kolej Vokasional (KV) Keningau dinobatkan sebagai naib johan pertandingan rekacipta dan inovasi Innovation Development Through Educational Activities tahun 2025 (iDEA’25) dalam bidang teknologi makanan yang berlangsung pada 16 hingga 17 Ogos, di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Banting, Selangor.
Pasukan yang memenangi wang ringgit berjumlah RM750, pingat emas, trofi dan sijil pencapaian itu ialah tiga orang pelajar tahun pertama yang berumur 16 tahun; Jaevlyen Nanceylala Jelbert, Rahaadatul Aisy Abdullah dan Zainurhan Iman Zufayri bin Zairizal.
Di bawah bimbingan Ibrahim Sa’min, guru vokasional dalam bidang tersebut, mereka menghasilkan produk yogurt beku probiotik yang diadun dengan buah oren dan biksu.
Menurut mereka produk yogurt itu bukan sahaja baik untuk sistem percernaan dan kesihatan usus tetapi juga mengandungin kalori yang rendah dan kaya dengan nutrien.
Pasukan itu satu-satunya pasukan dari negeri Sabah yang berjaya menjadi finalis dan seterusnya mendapat kedudukan teratas dalam pertandingan bersemuka ini.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan tahniah kepada pasukan ini kerana pencapaian itu membuktikan kualiti pendidikan kolej vokasional dalam melahirkan para graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang yang diceburi malah mampu mencipta inovasi yang memberi faedah dalam pelbagai aspek seperti kesihatan kepada masyarakat.
Beliau berharap amalan membangunkan inovasi dan mempertengahkan produk produk yang berpotensi terus dipraktikkan di kolej tersebut.