Keningau, 13 Jun 2025 – Sekumpulan pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau membuktikan bahawa kreativiti dan kelestarian mampu bergabung dalam satu karya hebat apabila mereka dinobatkan sebagai juara International Ocean Conservation Creative Competition bagi kategori kraftangan kumpulan umur belia. Kejuaraan itu telah diumumkan di laman sesawang milik penganjur.
Pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh International Youth and Children’s Education Association itu menyaksikan pasukan pelajar program Kosmetologi ini menampilkan inovasi luar biasa iaitu sebuah kerusi berkonsepkan kitar semula, yang dinamakan “Elegant Throne”.
Pasukan yang terdiri daripada tiga pelajar tahun akhir, Bevanny Adelia Benedict, Annyss Anastacia Francis George, dan Nur Nadia Natasya Ahmad Zainul Ariffin, mencipta kerusi tersebut menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik berisi surat khabar lama dan beg plastik, diperkukuh pula dengan papan, wayar, serta pakaian tidak digunakan. Menariknya, rekaan ini bukan sahaja cantik dipandang tetapi juga praktikal kerana direka khusus untuk memudahkan pakar kecantikan menjalankan rawatan kaki di luar premis. Kerusi ini turut dilengkapi dengan ruang penyimpanan bagi menyusun peralatan rawatan dengan kemas dan sistematik.
“Elegant Throne” bukan sekadar hasil kraftangan kerana ia turut menjadi lambang kreativiti berteraskan kelestarian. Selaras dengan tema pertandingan yang menekankan pemeliharaan lautan, projek ini menyampaikan mesej penting tentang ancaman pencemaran plastik terhadap ekosistem marin.
Menurut ketua kumpulan, Bevanny Adelia, projek ini bukan sekadar satu inovasi, tetapi juga berpotensi untuk dikembangkan menjadi perusahaan sosial yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Kami ingin membuktikan bahawa bahan buangan boleh diberi nafas baharu menjadi produk berguna dan bernilai. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, malah boleh menjana pendapatan kepada masyarakat,” katanya.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan ini.
“Ini bukti bahawa pendidikan vokasional bukan hanya tentang kemahiran, tetapi juga bagaimana pelajar mampu mengaplikasikan pengetahuan untuk menghasilkan inovasi yang menyumbang kepada kelestarian dan komuniti,” ujar beliau.
Kejayaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama KV Keningau di peringkat antarabangsa, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda di Sabah untuk terus berkarya demi masa depan yang lebih lestari.
Video penyertaan pasukan ini boleh ditonton menerusi pautan berikut: https://youtu.be/QVM15onIIvI?feature=shared