SM All Saints Johan, KV Keningau Naib Johan Menyaksikan Sabah Dominasi Social Project Challenge 2025

PETALING JAYA: 27 September 2025 – Pelajar dari Sabah mengharumkan nama negeri apabila dua pasukan daripada Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu dan Kolej Vokasional (KV) Keningau muncul sebagai johan serta naib johan dalam pertandingan Social Project Challenge (SPC) 2025 peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh myHarapan dengan tajaan Yayasan Telekom Malaysia (TM).

Kejohanan yang berlangsung di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya itu menyaksikan pasukan SM All Saints membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 selepas menewaskan pesaing lain dengan projek inovatif bertajuk “Mini H₂O Water Purifier” sebuah mesin penapis air mesra alam yang menggunakan bahan semula jadi dan kitar semula untuk membantu komuniti luar bandar mendapatkan bekalan air bersih.

Pasukan tersebut terdiri daripada lima pelajar Tingkatan Lima, iaitu Boy Foo Nang @ Jacob, Mirza Abreshyam Latif, Ryan Adriel, Wesley Vijay dan Joshua Robin di bawah bimbingan guru mereka, Siti Azizah Md Yussof.

Sementara itu, pasukan KV Keningau meraih tempat kedua dan hadiah wang tunai RM2,000 menerusi projek “Sign & Tell”, yang bertujuan memperkasa komuniti sekolah dengan kemahiran bahasa isyarat bagi memupuk komunikasi inklusif antara pelajar normal dan rakan mereka yang mempunyai masalah pendengaran.

Pasukan tersebut dianggotai Rosselina Senora Ungkak, Iris Sofea Irfin, Daffeny Jeanne Domica, Victoria Urai Jacob dan Nur Alesya Felix Mohd Fahmey.

Selain itu, satu lagi pasukan dari KV Keningau turut menerima saguhati bernilai RM300. Kedua-dua pasukan KV Keningau dibimbing oleh guru pembimbing, Vienny Balakrishnan dan Sirhajwan Idek.

Pertandingan SPC 2025 pada mulanya menerima sebanyak 70 penyertaan dari seluruh negara.

Hanya 30 pasukan terpilih untuk menjalani latihan dalam talian sebelum 15 pasukan mara ke peringkat bersemuka pada Mei lalu bagi mengikuti kem intensif selama dua hari.

Daripada jumlah itu, 10 pasukan terbaik menerima geran RM800 untuk melaksanakan projek masing-masing selama tiga bulan sebelum membentangkan hasil impak mereka di peringkat akhir.

Program ini dikendalikan oleh myHarapan, atau nama rasminya Youth Trust Foundation, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang komited memperkasa golongan belia melalui sokongan terhadap projek dan inisiatif yang diasaskan atau dipimpin oleh pelajar serta anak muda di seluruh Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal