KENINGAU: Dua orang pelajar cemerlang dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Felix Alejandro dan Brandon Alvin, telah mencapai satu kejayaan membanggakan dengan penerbitan artikel kajian ilmiah mereka dalam jurnal akademik berprestij, International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Julai 2025. Artikel yang bertajuk “Pipe Welding Jig for Greater Ease and Precision” ini merupakan hasil projek tahun akhir mereka dalam bidang Teknologi Kimpalan.
Projek inovatif mereka, jig pemegang paip besi, direka untuk meningkatkan kemudahan dan ketepatan kerja-kerja mengimpal paip. Alat ini membolehkan jurukimpal memotong paip dari pelbagai posisi dan sudut dengan lebih selesa, sekaligus menghasilkan kimpalan yang lebih kemas dan berkualiti.
Kejayaan penerbitan ini bukan sahaja mencerminkan kemahiran teknikal Felix dan Brandon, tetapi juga kemampuan mereka dalam penyelidikan ilmiah. Mereka menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) untuk menganalisis data yang dikumpul melalui ujian instrumen. Penggunaan Cronbach’s Alpha untuk mengukur kesahihan instrumen ujian menunjukkan komitmen mereka terhadap kejituan dan kebolehpercayaan data. Dapatan kajian mereka kemudiannya diterjemahkan berdasarkan statistik deskriptif untuk menilai penerimaan jig pemegang paip ini di kalangan pengimpal.
Projek ini mendapat bimbingan rapi dari guru-guru Teknologi Kimpalan KV Keningau, termasuk Azme Budiman, Nabil Fikri, dan Firdaus Sariman, serta Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi kolej. Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, turut menyumbang sebagai penulis bersama dalam artikel ilmiah tersebut.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, melahirkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa kedua-dua pelajarnya. Beliau memuji kegigihan mereka dalam menghasilkan projek yang mempunyai aplikasi praktikal dan juga kemampuan mereka untuk menerbitkan kajian mereka di dalam jurnal akademik berwasit.
“Kejayaan Felix dan Brandon ini merupakan bukti kualiti pendidikan vokasional yang diterapkan di KV Keningau,” kata Lumang anak Lang. “Saya berharap agar penggunaan ujian statistik terus diamalkan oleh pelajar-pelajar kolej ini, kerana ia merupakan kemahiran penting dalam era teknologi dan inovasi ini.”
Penerbitan artikel ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar KV Keningau yang lain untuk terus berusaha dan menghasilkan inovasi yang bermanfaat, serta menggalakkan mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti penyelidikan.
Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi reputasi KV Keningau sebagai sebuah institusi pendidikan vokasional yang berwibawa dan mampu melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.