KENINGAU: 10 September 2025 – Seorang pelajar Sabah, Muhd Nur Azmi Warni, 19, dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, berjaya mengharumkan nama negeri apabila menerima anugerah Best Article Award menerusi karya penulisannya berjudul “Keeping the Past Alive”.
Anugerah itu disampaikan oleh institut pengajian tinggi STKIP PGRI Pacitan, Indonesia, pada 3 September lalu.
Artikel berbahasa Inggeris berkenaan diterbitkan dalam majalah digital E-Magz edisi khas bertemakan kemerdekaan.
Dalam penulisannya, pelajar tahun empat jurusan Teknologi Automotif itu menekankan kepentingan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Beliau mencadangkan pendekatan pembelajaran sejarah yang lebih interaktif melalui dokumentari, lawatan ke lokasi bersejarah serta penglibatan pelajar dalam projek komuniti dan aktiviti sivik yang relevan dengan isu semasa.
Beliau turut menyarankan agar sambutan Bulan Kebangsaan dipelbagaikan supaya lebih sesuai dengan peredaran zaman dan menarik minat golongan muda untuk turut serta secara aktif.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan menyifatkan usaha menulis serta menerbitkan artikel sebagai amalan penting dalam meningkatkan penguasaan bahasa serta pemikiran kritis pelajar.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi pencetus semangat kepada pelajar lain di KV Keningau untuk terus mengasah bakat menulis mereka, sama ada dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu ataupun bahasa lain.