Pelajar KV Keningau Menang Dua Emas di Pertandingan Inovasi ICIIC 2026

photo 2026 01 31 09 30 18

KENINGAU: Dua pasukan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau telah berjaya memenangi dua anugerah emas melalui pertandingan International Creative Innovation Idea Competition (ICIIC) anjuran MNNF Network yang diumumkan pada 24 Januari 2026.

Pasukan ini berjaya memenangi anugerah emas melalui dua produk berasaskan alam persekitaran iaitu Halia Guard dan Mr. Wishy Washy.

photo 2026 01 31 09 30 23

Halia Guard adalah merupakan semburan penghalau serangga perosak yang diperbuat daripada bahan-bahan organik yang boleh didapati di mana-mana dapur.

Pasukan ini terdiri daripada empat orang pelajar tahun dua iaitu Mohd Afiq Adam, Mohd Azerin Zepin @ Sion, Mubashir Jilin dan Adib Irfan Tony. Pasukan ini juga pernah memenangi pingat emas di Sabah Festival of Ideas di Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2025.

Produk kedua adalah Mr. Wishy Washy iaitu cecair pembersih yang diperbuat daripada sisa buah dan produk ini mampu menanggalkan kotoran degil dan bau yang kurang menyenangkan daripada permukaan sistem sanitasi seperti longkang, mangkuk tandas dan kamar mandi.

Pasukan yang mempertandingkan produk ini terdiri daripada pelajar tahun kedua dan pertama iaitu Nur Syaidattul Akma, Syehekeel Daniel Hanry, Sheera Adriani Usop dan Faiz Akif Shahmi Rujili. Pasukan ini turut dibimbing oleh seorang usahawan dan petani moden iaitu Jason Wong Kok Ming yang merupakan pemilik Keningau Nature Farm dan berpengalaman dalam bidang petanian dan inovasi berasaskan hasil pertanian.

photo 2026 01 31 09 30 27

Kedua-dua pasukan pelajar ini berhasrat untuk menambahbaik produk-produk mereka dan mengkomersialkannya kepada golongan sasaran tertentu.

Pengarah kolej tersebut, Lumang anak Lang, berasa sangat berbangga dengan usaha pelajar ini yang konsisten memperkembangkan produk inovasi mereka sambil menjalinkan hubungan kerjasama dengan komuniti.

Beliau menzahirkan sokongan penuhnya kepada cita-cita para pelajar ini dalam menghasilkan dan menyebarluaskan penggunaan inovasi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal